Source: Shahmuzir Nordzahir
Adalah
penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah S.A.W dalam bab kaifiat dan
fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang
kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang
yang beriman.
Berikut
adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan
kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan.
Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan kitab
Feqhus-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat
mengamalkannya, insyaALLAH.
1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan
Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam
sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur
bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami
melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama
antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50
ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab
adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)
2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka
segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru
masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka
beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah
kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau
sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud
dan At-Turmudzi)
3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak
ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin
negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi
wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu,
apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata
kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang
mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:
“Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan
kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia
meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)
5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana
seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR
Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya
mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)
6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat
dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui
Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan,
dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR
Bukhari)
7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril
pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan
Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para
ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar
mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami
al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk
mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi
makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala
orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang
berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat
pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala
dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari
& Muslim)
10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya
waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.”
(HR Bukhari & Muslim)
11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan
Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan
sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian
setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan
kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang
untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk
bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan
meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti
senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga
dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan
mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar